Saturday, October 2, 2010

Kemahiran Yang Perlu Ada Oleh Ibu Bapa???

Kemahiran Yang Perlu Ada Oleh Ibu Bapa

Banyak ibu bapa mengaku bahawa ia amat mengambil berat tentang pendidikan anak-anaknya. Tapi bagaimana? Biasanya kita hanya akan memberi galakan dan menyediakan apa yang diperlukan untuk menghadapi peperiksaan.

Pernahkah kita sama-sama dengan anak-anak turut menyelesaikan masalah pelajaran mereka? Duduk bersama-sama dengan anak memerhati dan berbincang mengenai pelajaran yang sedang diulangkaji. Ataupun, ibu bapa dapat menghayati dan memahami apa sebenarnya masalah anak-anak mereka.

Untuk kali ini, beberapa tips dan kemahiran disediakan kepada ibu bapa terutamanya dalam memberikan bimbingan dalam persediaan menghadapi peperiksaan semasa di rumah.



Ujian Pengukur Kejayaan Pelajaran

Ujian adalah satu bentuk pengukuran. Anak-anak kita perlu dimaklumkan mengenai apa sebenarnya ujian dan tujuan ujian. Pihak sekolah akan menggunakan keputusan ujian sebagai satu bentuk pengukuran terhadap kebolehan pelajar dan mencari jalan bagaimana untuk meningkatkannya.

Hasil daripada ujian tersebut juga, pihak sekolah dapat mengetahui mata pelajaran atau metod dan cara yang paling sesuai dalam kaedah pembelajaran. Ini dapat membantu pihak sekolah meningkatkan lagi mutu dan tahap pendidikan anak-anak kita.

Kebanyakan sekolah kini sudah memulakan ujian yang seragam bagi peperiksaan penggal atau semester mereka. Mereka menggunakan ujian yang sama untuk menguji kebolehan pelajar di beberapa sekolah di dalam beberapa daerah atau negeri. Oleh kerana para pelajar telah mengambil ujian yang sama ini membolehkan kemampuan seseorang pelajar dapat dibandingkan dengan pelajar yang lain secara lebih objektif.


Elakkan Perasaan Takut Terhadap Peperiksaan

Telah menjadi satu budaya kepada masyarakat di negara ini menduduki sebarang ujian adalah sesuatu yang menakutkan. Perkara ini seharusnya dielakkan dan ujian perlu dilihat sebagai suatu yang positif. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang bimbang terhadap sesuatu ujian cenderung untuk mengalami gangguan emosi dan psikologikal yang lain pula seperti bimbang sekiranya tidak mencapai kejayaan yang diharapkan.

Mereka bimbang dan takut mengenai masa hadapan serta apabila hendak berhadapan dengan keluarga, kawan dan lain-lain. Ini boleh menimbulkan perasaan rendah diri di dalam diri pelajar. Malah mereka yang tidak dapat mengawal emosi dan perasaan dengan baik, sanggup mengambil tindakan-tindakan lain sehingga boleh membahayakan diri mereka sendiri.

Anak-anak perlu diberitahui bahawa ujian atau peperiksaan ini sebenarnya satu cabaran bagi mencapai kejayaan dan bukannya sebagai satu fenomena yang boleh menimbulkan perasaan takut kepada kegagalan dalam diri para pelajar. Inilah sebahagian dari punca yang menyebabkan banyak terdapat pelajar-pelajar yang mudah merasa bimbang dan takut akan kemampuan dan kebolehan mereka.



Bagaimana Mengurangkan Perasaan Takut

Bagi mengurangkan perasaan takut dan kebimbangan di kalangan anak-anak , beberapa perkara boleh dilakukan oleh ibu bapa. Di antaranya ialah perlu mempastikan supaya anak-anak kita mempunyai masa rehat yang mencukupi beberapa hari atau minggu sebelum peperiksaan. Ini bertujuan bagi mengelakkan keletihan kepada minda anak-anak kita terutamanya semasa mendudukui peperiksaan.

Anak-anak hendaklah diingatkan bahawa proses belajar dan pembelajaran sebenarnya telah berlaku lebih awal. Elakkan anak-anak kita melakukan berbagai-bagai aktiviti termasuk mengulangkaji secara berlebihan dalam saat-saat terakhir sebelum peperiksaan.

Anak-anak kita hendaklah sentiasa diingatkan supaya memahami arahan yang diberikan oleh pemeriksa atau guru dengan teliti. Sekiranya mereka tidak jelas atau tidak faham, mereka hendaklah bertanya dan mendapatkan penjelasan dengan segera.

Sebagai penjaga, kita hendaklah mempastikan anak-anak kita mengetahui akan bentuk soalan peperiksaan yang akan diduduki sama ada berbentuk aneka pilihan, mengisi tempat kosong, soalan betul-salah atau soalan esei. Adalah lebih baik sekiranya dapat kita ingatkan anak-anak kita mengenai markah yang diperuntukkan kepada setiap soalan. Ini dapat membantu mereka untuk memberi penekanan yang sesuai semasa menjawab soalan-soalan yang berkenaan.